Isnin, 13 Mei 2019

Mei 13, 50 tahun berlalu. Menjadi pengajaran atau menjadi cabaran?


1. Pada pagi ini tarikh Mei 13, 1969 saya masuk pejabat awal satelah balik dari Kuala Trengganu pada malam Mei 11, 1969 dan sampai Kuala Lumpur pada jam 8 pagi Mei 12, 1969. Satelah mengambalikan dan menyimpan peralatan kamera. Berbual di kantin dengan semua rakan sekerja yang balik dari berbagai negeri bagi merakamkan dan membuat liputan Pilihanraya Umum 1969 pada Mei 10, 1969.
2. Pada pagi itu.. banyak bercerita akan kisah sambutan kemenangan parti politik khasnya DAP di Selangor dan Perak dan juga kisah perarakan mayat seorang anasir subversif yang berlaku disepanjang Jalan Petaling yang menjadi isu sebelum saya ke Kuala Trengganu.
3. Di Kuala Lumpur sudah ada berbagai rumour atau khabar angin akan permasalahan orang Melayu dengan orang Cina. Cerita mulut ke mulut penyokong parti lawan Perikatan saperti DAP dan Gerakan melakukan perarakan kemenangan dengan mengejek-ngejek orang Melayu dikawasan orang Melayu saperti Kampong Bharu.
4. Sebelum balik kami semua dipanggil di bilik tayangan 2, Ketua Pengarah Tuan Zain Hussein memberi taklimat salepas beliau mengadakan mesyuarat khas di Angkasapuri. Menteri Penerangan masa itu Senu Abd Rahman sudah kalah dalam kawasan Pilihanrayanya. Ketua Pengarah memberi tahu semua crew kena standby. Dan kena buat liputan akan perarakan kemenangan PrU 1969. Saya sekali dimasukan kedalam crew yang berlainan. Saya diminta ikut Cameraman Haji Hamid dan pemandunya Mazlan Rejab menunggu di Rumah Datuk Harun Idris di Kampong Bharu kerana khabarnya petang ini ada perhimpunan orang Melayu disana.
5. Saya sampai ke Rumah Menteri Besar Selangor itu jam 4.00ptg.. Orang belum ada lagi.. sebab hari itu hari berkerja. Dalam jam 5.00 baru nampak orang ramai, khasnya orang Melayu datang dari berbagai arah.. Dari Circular Road (Jalan Pekeliling) kemungkinan datang dari Gombak dan Setapak. Dari Jalan Gurney kemungkinan dari Datuk Keramat atau Kampong Pandan dan dari Princes Road (Jalan Raja Muda Abd Aziz) dari Kampong Bharu dan Batu Road (Jalan Tuanku Abd Rahman) orang ramai berjalan kaki. Satelah berpusing dan meronda jalan-jalan itu untuk merakamkan kehadiran orang Melayu. Kami balik semula ke Rumah Menteri Besar Selangor.
6. Pada jam lebih kurang 6 petang. Bermula episod berdarah dan hitam negara. Dato Harun Idris balik dari mengadap Sultan Selangor. Bila masa Bas Sri Jaya berada dilaman rumah Dato Harun Idris saya tidak tahu, sebab masa kami datang dan keluar balik..Bas itu tidak ada. Maka atas atap Bas itulah digunakan oleh Dato Harun Idrin yang naik melalui tangga kecemasan Bas. (dahulu Bas atas tangga kebumbungnya) yang boleh digunakan untuk penumpang turun dari belakang atau menyimpan barang atas bumbung.
7. Di atas bumbung itu Dato Harun Berucap. Ucapan tidak ada yang menghasut kepada orang ramai yang hadir.. Hanya dia mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Selangor sudah boleh dibentuk. Dan majlis angkat sumpah mungkin esuknya Mei, 14.1969.
8. Bagaimana pun mereka yang dibawah ia itu yang hadir terpekik dan menjerit dengan kata-kata berbau perkauman. Antara yang saya dengar ialah 'Datuk izinkan kami mandikan darah Kuala Lumpur ini'.. 'Melayu sudah dihina Datuk' Ucapan Dato Harun idris timbul tenggelam dengan jerit pekik dan takbir 'Allah Akbar..
9. Masa itu Princes Road tidak ditutup walau orang sudah melimpah dari laman rumah Menteri Besar Selangor. Inilah kelemahan Polis Kuala Lumpur masa itu.. jam hampir maghrib. Mereka membuat keputusan untuk berarak juga malam ini ke Chow Kit Road dan Batu Road.
10. Entah apa silapnya, saya sendiri melihat sebuah kereta Mercedes melanggar motor budak melayu.. Berlaku pertengkaran, kerana menjawab agaknya maka sesaorang telah memukul lelaki Cina itu dan orang ramai mula jadi histeria menyerang kereta dan motorsikal yang lain. Disitulah saya pembunuhan pertama yang saya tengok.. Maka berarak mereka ke arah Chow Kit.. Dan kami mengikut sahaja dan merakamkan aksi-aksi membakar rumah kedai dan kereta.
11. Jam 9 malam keadaan sudah menjadi kelam kabut.. Askar mula masuk ke Kuala Lumpur dengan topi besinya dan berkemah di semua bulatan.. termasuk didepan IMR. Haji Hamid arahkan kita ke Balai Polis High Street disamping berlindung ialah untuk mandapat maklumat terkini.
12. Masa saya sampai di IPK Selangor, High Street pihak Polis tidak membenarkan kami masuk termasuk beberapa wartawan yang menunggu. Jam 10. malam berapa pegawai kanan polis baru kelihatan masuk ke perkarangan IPK Selangor termasuk yang saya kenal Tan Sri Salleh Ismail yang masa itu Ketua Polis Negara.
13. Dan kami diberitahu akan Perdana Menteri Tunku Abd Rahman akan datang. Kami semua menunggu. Satelah campur tangan Jabatan Penerangan dengan Polis.. semua wartawan surat khabar dan Tv termasuk Filem Negara dibenarkan masuk ke Bilik Gerakan Polis IPK Selangor. Berdasarkan perhubungan radio Polis dalam Bilik Gerakan itu.. beberapa panggilan kecemasan diterima termasuk serangan di merata tempat di Kuala Lumpur.
14. Kemudian satu sidang akbar diadakan oleh Ketua Polis Selangor bersama Ketua Polis Kuala Lumpur ia itu Ketua Polis Cambell Road. Polis menyatakan bahawa telah berlaku rusuhan kaum Kuala Lumpur dan Polis akan cuba mengawal keadaan dengan mengadakan sekatan masuk ke Kuala Lumpur yang mana road block juga akan dibuat oleh Askar.
15. Saya masa itu berusia 17 tahun dapat melihat kejadian-kejadian rusuhan itu sehigga pengistiharan dharurat Mei 15, 1969.
Bandar Sri Permaisuri 
Mei 13, 2019.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan mestilah selari dengan isu yang di wacanakan, sebarang ulasan yang tidak sewajarnya dalam isu tidak akan disiarkan atau dipadamkan kemudian

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.