Selasa, 21 Jun 2011

Pejabat PM Najib yang perlu di tranformasikan dulu.




PM Najib berkata di dialog antarabangsa Langkawi yang sebilangan besar pesertanya dari Benua Afrika supaya jangan takut dengan melaksanakan tranformasi.
Melaksanakan tranformasi memang satu amalan yang baik. Tetapi dari mana hendak bermula? Satu jawabpan perlu diberi dahulu sebelum dilaksanakan.
Bagi sebuah negara yang sudah merdeka di gerbang 54 tahun, Sabenanya sudah berpuluh kali tranformasi dilakukan tetapi tidak sehebat hari ini. Semuanya hendak tranformasi, ayat itu digunakan dimana-mana.
Maka apakah tranformasi yang hendak dibawa oleh PM Najib, adakah satu dasar yang menyeluruh? Atau ada beberapa perkara sahaja yang di perlukan tranformasikan. Ambil dahulu dalam soal pentadbiran kerajaan itu sendiri, adakah sudah ditranformasikan.
Jika PM Najib terus bersetuju dengan seorang pegawai turus di perkhidmatan awam yang sudah menjangkau usia 58tahun, disambung lagi perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha Negara sehingga usia 61 tahun dan seorang Gabenor Bank pusat yang sudah berusia 60 tahun disambung tugas sehingga 65 tahun adakah satu tranformasi? Adakah selama 50tahun ini kita gagal melahirkan ahli pentadbir yang bijak, ahli ekonomi yang terhandal? Atau kita tidak berjaya melahirkan modal insan.
Jika lonjakan ekonomi dimulakan mengambil tanah-tanah kerajaan dan diberikan kepada IMalaysia Develoment Berhad (1MDB) kemudian IMDB dengan tidak mengambil kira kepentingan negara dimasa depan. Akhirnya jangka panjang merugikan rakyat, bila mana 30 tahun kedepan kerajaaan masa itu terpaksa pula menggunakan akta pengambilan tanah-tanah milik rakyat bagi keperluan masa itu. Adakah itu maksud tranformasinya.
Kenapa tidak merancang bandar baru saperti yang dibuat oleh pemikir-pemikir perancang ekonomi tahun 60an yang tidak sehebat Zetty Aziz, hingga lahir Bandar Baru Bangi dan Shah Alam dan beberapa bandar baru. Kenapa tanah-tanah perladangan yang tamat tempoh pajakan tidak diambil semula oleh kerajaan dijadikan kawasan pembangunan baru, kenapa dipersetujui pertukaran status tanah dari pertanian ke perumahan dan komersial? Adakah itu bukan tranformasi tanah?
Akan ada beratus senarai yang akan ditulis yang memerlukan tranformasi jika benar kita mahu “tran” ia itu menyeluruh dalam reformasi kita. Belum masuk lagi perkara lain, Contuhnya kita mahu penjaja haram dan kakilima dihapuskan tetapi dalam masa yang sama kita keluarkan lesen penjaja. Kita suruh mereka berpindah tetapi foodcourt tidak dibina, jika ada pun dikawasan komplek atau mall, harga sewaan tidak termampu oleh penjaja dan peniaga kecil.
Akhirnya orang saperti saya yang terlibat dalam politik dan menjadi ahli Parti yang bernama UMNO akan bertanya adakah tranformasi ini akan dimulakan oleh UMNO sendiri ia itu melalui pemimpin-pemimpinnya khasnya PM Najib dan timbalannnya TPM Muhyiddin, belum termasuk Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang sebilangan besarnya semasa hendak membuat pemilihan dahulu suara macam harimau dan bila terpilih saperti kucing meminta ikan.
Kepada saya UMNO yang perlu di tranformasikan, yang perlu diubah, bukan sahaja perlembagaannya tetapi perangai pemimpinnya.
UMNO sebenarnya tidak pernah belajar kenapa dengan tiba-tiba ditolak oleh rakyat pada pilihanraya umum 2008 dengan kekalahan di empat kerajaan negeri yang dikuasainya dan kekal tidak dapat menguasai Kerajaan Kelantan.
Segalanya bermula dengan pemimpin UMNO sendiri. Soal dasar dan sumbangan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional tidak ada sesiapa hendak menafikan apa yang sudah dilakukan oleh UMNO ini selama 50tahun Merdeka.
Kenapa pada tahun 2007 menjelang Malaysia meraikan 50tahun kemerdekaannya tidak saperti Kerajaan Perikatan meraikan 10tahun kemerdekaan ditahun 1967. Dimana beberapa pamiran dan keraian dilakukan melibatkan rakyat berbagai kaum. Jika tidak kerana perayaan 10tahun itu, kemungkinan dipilihan raya tahun 1969 lagi parah keputusannya.
Berbalik semula ke dasar-dasar tranformasi yang sewajarnya dimulakan dalam batang tuboh UMNO.. adakah sudah dilakukan dengan dimulakan pemimpin UMNO ini berubah cara tingkah lakunya.
Pemimpin UMNO ini dalam istilah politiknya sudah menjadi gulongan ‘borjuis’ walau sebenarnya asal mereka juga dari kaki lima. Saya perhatikan sikap borjuis ini dikalangan pemimpin UMNO ini yang menyebabkan rakyat khasnya generasi baru dari berbagai kaum naik menyampah dengan pemimpin UMNO belum termasuk lagi gulungan yang berlagak aristokrat.
Jika dibandingkan majoriti rakyat hari ini.. mereka tidak termasuk dalam gulongan borjuis jauh sekali mereka aristokrat. Tetapi bagaimana rakyat dizaman 50an dan 60an boleh menerima gulongan aristokrat menjadi pemimpin mereka walhal mereka adalah proletariat dan petani.
Kenapa Dato Onn, Tunku, Tun Razak, Tun Ismail dan berderet lagi pemimpin UMNO dari gulongan aritokrat dan borjuis Melayu diterima oleh orang-orang Melayu, malah kematian mereka ditangisi. Jawabpannya mereka memang keturunan aristokrat dan datang dari gulongan borjuis tetapi mereka tidak pernah menunjukan diri mereka dari asal dari gulongan itu.
Mereka pemimpin melayu sejati, mereka terbuka untuk menerima pandangan pengikut dan penyokungnya, berdamping dengan rakyat dimana sahaja.
Berbeza hari ini.. pemimpin UMNO yang asal dari kakilima dan dapat sedikit pelajaran dan masuk universiti akhirnya dianggap intelek, mereka pula sekarang berlagak macam aristokrat dan berjouis besar.
Mereka yang memegang jawatan Menteri dan Menteri Besar satu perkara, yang hanya ahli Parlimen dan ahli Dewan Negeri satu perkara lain ditambah lagi dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian yang sibuk menggunakan jawatan untuk mencari projek memperkayakan diri.
Satu perkara yang pemimpin ini terlupa bahawa mereka membesar didepan beribu pengundi dan pemilih dalam kawasan pilihanraya. Sebilangan besar pengundi tahu asal usulnya. Jika perubahan kehidupannya mendadak dan luar biasa. Maka disoal, mana punca dan datang kekayaan itu? Jika tidak menjual jawatan dan melacurkan pengundi dan ahli UMNO?
Kesimpulannya bahawa rakyat bukan mahu terlalu banyak tranformasi hanya hendak satu tranformasi sahaja ia itu pemimpinlah tranformasikan diri.
Dalam wall saya di facebook, saya katakan bahawa jika saya yang memberi tangan surat kepada PM Najib sendiri dan saya tahu bahawa PM Najib akan menyerahkan surat itu kepada pembantunya untuk mengambil tindakan susulan. Akhirnya tidak dapat sebarang jawabpan.. bukan surat itu minta sokungan projek tetapi membincangkan kepentingan rakyat tidak dilayan. Bagaimana dengan surat rakyat yang lain. Adakah itu salah PM Najib?
Itu sebabnya bagaimana pun yang lama juga di puji orang. Tun Dr Mahathir Mohamed semasa menjadi Perdana Menteri setiap surat yang dihantar akan dijawab sama ada oleh dirinya sendiri atau pegawainya. Itu sebab banyak orang menyimpan surat jawabpan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai satu kenangan dengan pemimpin.
Saya tidak salahkan PM Najib tetapi pembantunya. Kenapa pembantu tidak melayan surat yang berkepala surat lambang UMNO sendiri agaknya kerana saya siapa. Memang saya bukan siapa.. tetapi saya Setiausaha UMNO Bahagian satu UMNO Bahagian yang hanya berjumlah 191 sahaja. Bagi pembantunya yang bertaraf Setiausaha Sulit Kanan dan kiri, Setiausaha Politik dan juga Pegawai-pegawai Khas tolong jangan ambil kesempatan atas kelemahan PM Najib anak seorang aritokrat melayu itu. Jangan sibuk menukar cover proposal dan mencari komisyen dan membuat rumah banglow, dimata rakyat memandang.
Saya sudah melalui zaman Tun Razak,Tun Hussein, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya dizaman PM Abdullah dan PM Najib sahaja yang saya lihat banyak pegawai-pegawai di pejabat PM bergelar Datuk Seri dan Datuk, yang belum ada ialah gelaran Tan Sri kepada pegawai-pegawainya, saya rasa dizaman PM Najib nanti akan ada gelaran Tan Sri akan diberi kepada Pegawai Khasnya saperti Azlin Alias.
Ingatlah PM Najib pernah menang hanya dengan majoriti bawah 250 undi di Pekan, Jika beliau menang hanya di Pekan tanpa menang ditempat lain kalah, beliau tidak juga menjadi Perdana Menteri. Saya tidak akan mengeluarkan wang walau sesen pun untuk dapat berjumpa dengan PM Najib saperti mana saya dengar dan di beritahu bahawa ada orang disekeliling Pejabat PM Najib diberikan wang beribu-ribu dulu untuk dapat berjumpa dan potong que. kerana itu soal nak berjumpa itu, bukan kepentingan saya.
Kesimpulanya bertranformasikan sikap supaya jujur dan amanah.
Sang Kelembai: Ahmad Maslan hantar msg minta saya hantar semula surat yang dihantar. Konunnya nak bantu dapat temujanji. Saya sudah tidak berminat berjumpa lagi. dengan PM Najib. Jika saya telah mulakan mengangkat sauk dan layar berkembang, saya akan mulakan pelayaran saya. Biar sebesar mana gelombang dan gelora akan saya tempoh.

Ahad, 19 Jun 2011

Saya bukan Ronggolawe di Kerajaan Majapahit


Dalam sejarah Jawa sehingga terdiri kerajaan Majapahit ada seorang yang rapat dengan Raden Wijaya bernama Ronggolawe. Ia ikut serta membangun membina satu kawasan menjadi satu kerajaan yang akhirnya dinamakan Majapahit.


Ronggolawe atau ada juga yang memanggilnya Ranggalawe memang seorang yang suka membuat kritik, sehinggakan dia tidak sedar bahawa dia adalah sebahagian orang yang membina kerajaan itu.


Memang Ronggolawee tidak disukai, bukan kerana ia berbuat jahat atau berkhianat tetapi kerana keteguhannya dalam prinsipnya.


Akhirnya ia berhenti dengan tugas yang berkuasa itu, kerana tidak tahan lagi menghadapi masyarakat yang membesarkannya. Malah ia sudah tidak tertahan lagi bila dihadapkan pada perilaku “jilat menjilat” orang disekitar Raja yang ingin mendapat nama dengan cara mengadu domba, menfitnah dan antara lain menjelek-jeleknya.


Kerana muak dengan perangai Pembesar dan orang disekitar Pembesar Majapahit, akhirnya dia keluar dari lingkaran kekuasaan dan menjadi oposisi kepada rakan-rakan yang dahulunya bahu membahu berjuang mencapai cita-cita bersama.


Begitulah saya. Saya telah membina 40tahun UMNO ini. Saya tidak sama sekali menyesal menyertai dan melibatkan diri dalam perjuangan UMNO, malah tidak terkilan langsung tidak dapat apa-apa pengitirafkan sama ada diberi pingat, kata-kata perangsang atau pulangan mendapat projek.


Saya sudah mendiamkan diri selama tiga tahun salepas BN/UMNO hilang kerusi 2/3 di Parlimen dan kehilangan kuasa memerintah di empat negeri. Saya menyertai UMNO semula satelah saya dipecat secara tidak adil bila pemimpin masa itu menjadikan UMNO sebagai satu perusahaan peribadinya, main ikut suka.


Salepas saya menyertai UMNO dan pemimpin yang memecat itu tidak berkuasa lagi, baru saya dimaklumkan memang keputusan itu berlawanan dengan keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang mengadili saya dengan 22 tudohan itu. Sebenarnya saya hanya “di beri amaran” sahaja kerana saya telah pun mempersiapkan surat “permintaan maaf dan aku janji tidak menulis kritikan lagi”.


Untuk tempoh tiga tahun saya tidak berbuat apa2 terhadap blog saya “Sang Kelembai” kecuali menulis perkara-perkara ringan sahaja. Kebetulan ada media baru bernama facebook.. maka facebooklah tempat saya menyampaikan kritikan dan pandangan saya tetapi dia hanya 50% dari sikap mengkritik saya yang sebenar.


Satelah memikirkan dengan aset peribadi dan pengalaman melalui pembelajaran dan terlibat dalam membentuk dasar di dalam UMNO tidak digunakan oleh Pembesar UMNO, saya rasa, saya perlu kembali ke habitat yang saya sebenarnya. Biar saya berurus terus dengan rakyat.


Walau pun hari ini saya masih kekal sebagai Setiausaha UMNO Bahagian di P124 Bandar Tun Razak, satu jawatan yang mempunyai hampir 99% kuasa Ketua UMNO Bahagian, yang memisahkan ialah perkara-perkara dasar yang hak Ketua UMNO Bahagian memutuskan dan juga kuasa-kuasa yang perlu dirujukan kepadanya, lain daripada itu Setiausaha UMNO Bahagian yang membuat keputusan.

Saya hendak memulakan semula cara saya membina UMNO dengan menulis bagi memberi cadangan dan mengkritik Pembesar UMNO yang hari demi hari sudah melupakan tsunami politik yang berlaku di tahun 2008. Bagaimana pun tumpuan saya kepada Parti saingan UMNO saperti PAS, PKR dan DAP.


Memanglah didalam organisasi politik saperti UMNO, melancarkan kritik dan bertindak saperti oposisi adalah satu yang dilihat dalam masyarakat Melayu khasnya UMNO, satu perbuatan dilarang. Saya pun sedar, jika saya menulis soal serangan saya kepada UMNO, bererti saya juga menyerang diri saya.


Apa pun pandangan saya tindakan itu tidak sama saperti menepuk air di dulang atau meludah di tempayan sendiri, kerana lebih baik kita menepuk air di dulang, walau pun terpecik kemuka sendiri dan meludah didalam tempayan sendiri tempat air minuman tersimpan


Kerana air terpecik bukan saya seorang sahaja yang terkena tetapi siapa yang berada disekeling dulang, jika air tempayan sudah diludah oleh saya, bukan sahaja saya seorang yang minum, orang lain pun minum.


Kesimpulannya Pembesar UMNO yang duduk di Majlis Tertinggi UMNO kena berwaspada dan menjaga air di dulang jangan ditepuk dan jangan ada yang meludah di tempayan dikalangan ahli-ahli sendiri kerana meluat dengan pembesar UMNO ini.


Janji saya hanya satu.. saya tidak akan menjadi duri dalam daging, lagi pun jika saya menjadi duri jika tercucuk daging, akan tidak menjadikan daging itu bernanah.


Saya di bentuk sebagai kader politik, Saya tidak akan bertindak saperti Ronggolawe dalam sejarah Majapahit yang kemudian keluar sebagai pembangkang. Saya tetap memilih UMNO sebagai “rumah politik” saya, jauh sekali hendak mengwujudkan dan menyertai parti BSH-Barisan Sakit Hati.


Satelah di desak oleh Sdra Datuk Kamal Amir, Ketua Pengarang Media Rakyat, satu satu kawan saya yang selalu mendukung penulisan saya meminta saya menulis semula secara agresif, satelah memikiran ‘keadaan masa ini’ maka saya akan memulakannya.


Rencana yang saya tulis ini hanya sebagai permulaan menerangkan kenapa saya menulis semula, jika saya sudah memulakan secara serius.. saya tidak akan memandang kebelakang lagi.

Sang Kelembai: Dua penulis yang menjadi mentor saya menjadi oposisi dengan tidak mendapat keuntungan ialah di Indonesia Mocktar Lubis dan Pramoedya Ananta Toer. Di Malaysia Pak Sako dan Bung Boestaman adalah bentara guru saya dalam memahami kiri dan kanan.